February 28th, 2012 Mohamad Faizul Ibrahim
Apa itu Forex?
Forex berasal daripada perkataan Foreign Exchange. Forex adalah urusan pertukaran wang asing di antara satu negara dengan negara lain mengikut kadar yang tertentu
Adakah Forex dibenarkan?
Ya dibenarkan. Di Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) hanya membenarkan urusniaga Forex dijalankan menerusi peniaga yang diberi kuasa (authorised dealers) seperti bank-bank tempatan dan pengurup wang (money changers). (Rujuk Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953 dan Akta Pengurupan Wang 1998)
Jadi mengapa ada halangan dalam urusniaga Forex?
Walaupan negara-negera luar membenarkannya tetapi Bank Negara Malaysia tidak mengiktiraf sebarang urusniaga matawang asing yang dibuat melalui saluran-saluran yang tidak sah. Ia akan menjatuhkan ekonomi sesebuah negara.
Urusniaga “Forex Peribadi” yang dijalankan oleh individu melalui internet sangat berbeza daripada dengan Forex yang dijalankan di peringkat institusi kewangan yang sah. Banyak kajian telah dilakukan terhadap “Forex Peribadi”dan ramai ulama’ mengharamkannya. Sedangkan Forex pada institusi kewangan diharuskan.
Bagaimana operasi “Forex Peribadi” ini?
Cara peserta memasuki “Forex Peribadi”
- Daftar online melalui laman web syarikat.
- Download perisian Forex.
- Deposit wang ke akaun sendiri sebagai modal.
- Beli matawang asing pada nilai rendah dan tunggu.
- Bila nilai matawang meningkat baru jual semula.
- Kalau nak untung lagi, ambil pinjaman daripada syarikat.
- Hanya dapat nilai keuntungan sahaja. Wang modal dan pinjaman masih dipegang oleh syarikat.
- Syarikat mengenakan caj sekiranya urusniaga peserta melebihi masa yang dihadkan.
Rasa tiada masalah jadi kenapa ulama’ haramkan?
Ada masalah dan haram dalam Islam kerana:-
Pertama, ulama’ sepakat menyatakan emas dan perak adalah matawang. Hadis Nabi menyebut “Rasulullah s.a.w melarang dari menjual emas dan perak secara berhutang (Riwayat Al-Bukhari)”. Jadi urusniaga Forex yang dilakukan secara bertangguh adalah haram. Pertukaran hanya boleh dilakukan pada waktu sama.
Kedua, peserta boleh membuat pinjaman dalam urusniaga ini. Ini adalah haram di sisi Islam kerana terdapat dua kontrak serentak,iaitu jual beli Forexbeserta pinjaman untuk urusniaga. Pengharaman ini adalah berdasarkan kepada Hadis Nabi “Tidak halal pinjaman beserta jual beli (Riwayat Abu Dawud)”.
Ketiga, setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat kepada pemberi atau penerima pinjam, adalah riba yang diharamkan. Kaedah ini disepakati oleh ulama’ feqah menyebut “Setiap pinjaman yang memberi manfaat maka ia adalah riba”.
Keempat, urusniaga Forex ini mengandungi unsur riba yang nyata, iaitu melalui caj dikenakan sekiranya urusniaga peserta melebihi masa yang dihadkan. Ia adalah riba yang diharamkan. Allah berfirman “Wahai orang-orang yang beriman, Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman (Al-Baqarah 278)”.
SUMBER:
Asmadi MN, Hasniza MT, Muhammad Nasri H, (2011) Kertas Kerja Kefahaman Umum Terhadap Perdagangan Matawang (Forex) Dan Kedudukannya Dalam Syarak. Muzakarah Ahli‐Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan Di Malaysia Kali Ke‐7 Pada 31 Mei 2011
Marjan M, Lukmanulhakim H, Mohamad MSM, Wan Norhaziki WAH. (2011). Kertas Kerja Operasi Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh IndividuSecara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik:Satu Sorotan dari Sudut Syariah.International Shariah Research Academy for Islamic Finance (ISRA)
http://zaharuddin.net di capai pada 23 Feb 2011
No comments:
Post a Comment