ADAKAH anda pernah menonton filem Fitna. Filem pendek
berdurasi 15 minit ini satu ketika dahulu pernah menggemparkan dunia
apabila filem ini dilihat sebagai menghina agama Islam, menghina
Rasulullah SAW dan umatnya.
Ramai pemerhati berpendapat kelahiran filem ini sebagai manifestasi
sikap prejudis dan Islamofobia kepada Islam dan umat Islam yang
meningkat sejak kejadian serangan 11 September 2001.
Karya ini dapat dihasilkan kerana orang yang menjadi tulang belakang
pembikinan filem ini adalah seorang ahli politik Party for Freedom (PPV)
yang terkenal dengan anti Islam, Arnoud Van Doorn.
Sesungguhnya hidayah ALLAH tidak mengenal siapa. Orang yang dahulunya
beriya-iya menghina Nabi Muhammad SAW dan umat Islam kini memeluk Islam!
Van Doorn menjelaskan antara faktor utama pengislamannya adalah apabila
hati kecilnya terusik melihat penghasilan filem itu dan juga sikap
partinya yang selalu memusuhi Islam.
Perasaan itu membuatkan Van Doorn mencari terjemahan al-Quran, hadis,
dan buku rujukan Islam. Hari demi hari berikutnya dilalui dengan membaca
dan mengkaji buku satu per satu, tanpa meninggalkan aktivitinya yang
lain. Selama ini Van Doorn hanya tahu Islam daripada mulut orang yang
membenci agama ALLAH ini.
“Saya mempelajari al-Quran kerana rasa ingin tahu yang menebal. Saya
mula mempelajarinya setelah keluar daripada Parti PVV. Sebelum itu saya
hanya mendengar cerita yang buruk mengenai Islam. Semakin banyak saya
membaca semakin saya yakin Islam sesungguhnya agama yang indah dan penuh
kebijaksanaan.
“Sebenarnya, sebagai penganut Kristian, banyak nilai baik yang saya
pelajari daripadanya. Keadaan ini memudahkan saya untuk menerima Islam
sebagai pedoman hidup. Lebih mudah untuk beralih daripada seorang
penganut agama Kristian menjadi Muslim daripada seorang atheis (tidak
percaya agama), kerana sebelumnya saya telah mengenal konsep kenabian,
adanya malaikat dan disiplin yang selalu ada dalam mana-mana ajaran
agama mana pun,” katanya.
Temui jalan hidayah
Kenalan dan individu terdekat Van Doorn tahu yang dia membaca rujukan
Islam, langsung tidak terlintas di benak mereka sikapnya itu akan
menjadi jalan hidayah bagi Van Doorn. Kerana lazim dalam dunia mereka,
mengkaji sesebuah pemikiran atau suatu fahaman tanpa harus mempercayai
dan mengikutinya. Bahkan, ramai yang mempelajari Islam kemudian
menyerangnya.
Van Doorn menghabiskan waktu hampir setahun untuk mengkaji al-Quran,
Sunnah dan sejumlah rujukan Islam tersebut. Dia juga sempat berdialog
dengan penganut Islam untuk mengetahui lebih jauh perihal agama yang
kini menarik hatinya.
Semakin lama mempelajari Islam, Van Doorn semakin tertarik. Meskipun
sebelum ini dia juga memiliki asas Kristian sebagai agamanya, Van Doorn
berasakan Islam itu istimewa.
Apa yang selama ini ada dalam kepalanya, Islam itu fanatik, menindas
wanita, tidak toleransi, membabi buta memusuhi Barat, perlahan-lahan
hilang daripada fikirannya.
Ternyata Islam sesuatu yang sama sekali berbeza dari apa yang pernah
dia sangka. Islam adalah agama yang cintakan kedamaian. Tidak seperti
tuduhan media Barat yang selama ini mengisahkan Islam sebagai pengganas.
Jalan hidayah bagi Van Doorn semakin terbuka lebar ketika bertemu
dengan seorang Muslim bernama Abu Khoulani, rakannya yang bekerja di
Dewan Kota Den Haag.
Selain menjelaskan Islam dengan lebih jauh lagi, beliau juga menghubungkan Van Doorn dengan Masjid As-Sunnah.
Dianggap pengkhianat
Tidak ada manusia yang tidak pernah diuji ALLAH SWT. Begitu juga dengan empunya diri Van Doorn.
Tidak semua yang suka dan menerima baik pengislamannya lebih-lebih lagi
rakan sejawatnya dalam Parti PPV. Kebanyakan daripada mereka marah
dengan perubahannya itu bahkan menganggap Van Doorn sebagai pengkhianat.
"Saya jelaskan kepada mereka keputusan ini adalah keputusan peribadi
dan terpulang kepada diri ini untuk menganut mana-mana agama
memandangkan setiap orang mempunyai hak untuk memilih agama dan
kepercayaan.
“Walaupun ramai yang menganggap saya sebagai pengkhianat, tetapi
sebahagian daripada masyarakat yang lain memberi reaksi positif. Saya
juga menerima sokongan daripada masyarakat lain yang menghantar reaksi
melalui Twitter.
“Saya berasa bahagia dan gembira melihat orang yang tidak mengenal saya
secara peribadi menyokong dan memahami dengan pilihan yang saya
lakukan,” jelasnya yang mengakui ada hikmahnya beliau pernah menjadi
sebahagian daripada ahli parti PPV.
Ajak kenali Islam
Van Doorn kini berasakan telah menemui pedoman hidupnya dan beliau
ingin mengajak mereka yang bukan Islam memahami Islam dan
mempelajarinya dengan lebih mendalam agar mereka dapat membuang segala
prasangka buruk terhadap Islam.
“Pelajarilah Islam, buangkan segala prasangka buruk, Insya-ALLAH kamu
akan lihat bahawa Islam itu agama yang sangat indah dan murni, agama
Islam yang memiliki sejarah yang begitu agung. Umat Islamnya pula saling
mengambil berat antara satu sama yang lain, baik dalam senang mahupun
susah.
“Di Barat, Islam umumnya dituding sebagai agama yang melahirkan dan
mewujudkan pengganas dan menindas perempuan. Bagaimanakah tanggapan anda
terhadap segala tuduhan semacam ini? Semuanya berlaku kerana prasangka
yang buruk dan kurangnya wawasan.
Kumpulan fanatik sememangnya wujud dalam mana-mana agama pun di dunia
ini. Tapi sayangnya golongan fanatik yang cuma satu peratus itu
dipertunjukkan di televisyen dan media-media yang lain, sekali gus
pengaruh mereka diperbesar-besarkan.
Sedangkan 99 peratus umat Islam yang lain terus bekerja keras dan hidup dengan aman damai.
Jika semakin ramai orang mempelajari Islam yang sebenarnya, kian bertambahlah yang melihat keindahan Islam,” ujarnya.
Beliau menyedari pengislamannya juga adalah permulaan baru dan banyak lagi yang perlu dilakukan dirinya mengenali Islam.
Kini, sebagai penebus atas kesalahannya membuat Fitna, Van Doorn menyatakan akan membuat karya besar untuk mengangkat Islam.
“Saya berdoa semoga air mata saya ini mampu menghapus segala dosa yang
dilakukan pada masa lalu, dan saya akan bekerja untuk menghasilkan karya
besar dan ingin mengangkat Islam dan kaum Muslimin setelah kembali
daripada ibadah haji,” katanya pada akhir bicara.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/
No comments:
Post a Comment