Kuala Lumpur: Penetapan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan mengambil kira aspek cuti tetapi tidak semestinya pada cuti persekolahan hujung Mac depan.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata lazimnya SPR memilih cuti hujung minggu atau cuti umum sebagai tarikh mengundi bagi membolehkan lebih ramai pengundi menunaikan tanggungjawab dan faktor cuti sekolah bukan aspek wajib diambil kira.
Kita lihat dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya umum sebelum ini, memang kita pilih cuti hujung minggu dan kadang kala cuti umum sebagai tarikh mengundi. Tak semestinya pada cuti sekolah.
Bagaimanapun, kita tidak mengetepikan aspek cuti sekolah kerana lebih mudah untuk kita menggunakan kemudahan sedia ada di sekolah bagi melancarkan proses pengundian tanpa mengganggu pembelajaran pelajar, katanya kepada BH semalam.
Beliau diminta mengulas aspek cuti sekolah sebagai tarikh pengundian PRU-13 dan pelbagai kemudahan sedia ada di bangunan berkenaan sebagai faktor memungkinkan PRU-13 diadakan pada cuti sekolah mulai 23 Mac depan.
Bagaimanapun, Wan Ahmad yang enggan mengulas kemungkinan SPR melihat cuti sekolah berkenaan sebagai tarikh sesuai untuk mengadakan PRU-13, berkata pihaknya perlu melihat bila tarikh Parlimen dibubarkan.
Sebaik saja Parlimen dibubarkan, SPR ada 60 hari untuk melaksanakan tanggungjawab menganjurkan pilihan raya umum. Selaras Perkara 115 Perlembagaan Persekutuan, semua agensi kerajaan, termasuk Kementerian Pelajaran harus menyalurkan bantuan kepada SPR, katanya.
sumber : berita harian
No comments:
Post a Comment