Kedatangan Islam
Palestin kekal di bawah milik kerajaan Rom sehinggalah kelahiran Nabi kita Muhammad s.a.w. Setelah Rasulullah berjaya menubuhkan empayar Islam, beliau wafat pada 632 Masihi.
Empayar Islam semakin berkembang dan Palestin berjaya ditawan dari kerajaan Rom pada tahun 638 Masihi. Maka sedari itulah Palestin menjadi milik Islam, sebagai tanah suci yang ketiga selepas Makkah dan Madinah.
Sepanjang tempoh tersebut, kerajaan Rom yang telah menjalani Kristianisasi mengalami pelbagai perubahan daripada sudut struktur pemerintahan.
Bangsa-bangsa asal Eropah seperti Vikings, Magyar dan sebagainya dikristiankan, dan pemerintahan dikuasai oleh golongan gereja.
Sejak dari 1000 Masihi, tentera Kristian telah melakukan pelbagai usaha menawan kembali Palestin. Pada tahun 1063, Pope Alexander II memberikan 'fatwa' mengerahkan penganut Kristian untuk berjuang mendapatkan kembali Palestin, dan barangsiapa yang berjuang diberikan status kemuliaan dan pengampunan tertinggi.
Itulah yang dikenali sebagai Perang Salib (Crusades).
Akhirnya pada tahun 1099, tentera Salib berjaya menawan Palestin, dan menguasai tanah suci tersebut selama hampir 200 tahun.
Islam Menawan Semula Palestin
Setelah Palestin ditawan, kerajaan Islam yang sedia ada konflik dalaman pada ketika itu, semakin hilang semangat.
Keadaan berlanjutan sehinggalah lahirnya seorang pemimpin agung, yang dikenali sebagai Salahuddin Al Ayyubi.
Salahuddin Al Ayyubi, menyatukan masyarakat Arab yang ketika itu berpecah belah akibat perbezaan mazhab dan aliran, seterusnya membawa tentera Islam menyerang kembali Palestin.
Akhirnya, pada sekitar tahun 1187, ibu negara Palestin berjaya ditawan, dan pada tahun 1291 kubu terakhir tentera Salib di tanah suci tersebut berjaya dimusnahkan.
Sejak itulah tanah suci Palestin kekal di bawah pemerintahan Islam dengan aman damai.
Malahan, penduduk asal Palestin iaitu Yahudi/Bani Israel dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka, walaupun masih ramai yang bermastautin di luar.
Kerajaan Islam berkembang meluas, hinggalah masuk ke era pemerintahan Turki Uthmaniyyah.
Zaman Turki Uthmaniyyah mengalami kejatuhan sejak dari abad ke-19 lagi.
Proses modenisasi semakin berlaku, dan kebergantungan terhadap kuasa barat semakin wujud. Krisis-krisis dan konflik dalaman melemahkan lagi kekuasaan empayar Turki Uthmaniyyah.
Khalifah pada masa tersebut hanyalah pada nama. Empayar Islam semakin lemah, di bawah kekuasaan barat seperti Britain dan Perancis.
Palestin Di Bawah Pemerintahan Turki-Uthmaniyyah
Palestin berada di bawah pemerintahan Islam kali terakhir adalah di bawah kerajaan Turki-Uthmaniyyah. Pada tahun 1516, Palestin telah menjadi wilayah di bawah naungan Empayar Islam Uthmaniyyah yang telah mengambil alih daripada kerajaan Mamluk dalam Perang Marj Dabak berhampiran dengan Halab. Pada zaman Sultan Sulaiman al- Qanuni (1538-1539), kota-kota di Palestin dan Baitulmaqdis telah diperbaiki.1 Palestin di bahagian selatan berada di bawah pentadbiran wilayah Sham dan berpusat di Damsyik, manakala bahagian utara Palestin pula ditadbir oleh wilayah Lubnan yang berpusat di Akka. Palestin kelihatannya kekal di bawah Empayar Uthmaniyyah selama 4 abad. Pentadbiran Palestin di bawah kerajaan Uthmaniyyah berakhir
sebaik sahaja Inggeris berjaya menjajah wilayah ini.
Ketika ia berada di bawah pentadbiran Uthmaniyyah, Baitulmaqdis dan Palestin merupakan wilayah terbuka yang boleh dilawati oleh golongan Kristian dan Yahudi untuk mereka melakukan ibadah ditempat yang dianggap suci oleh 3 agama samawi.
Golongan Kristian dan Yahudi bebas untuk melakukan ibadah termasuk ibadah utama mereka yang sering disebut sebagai ‘pilgrim’. Ia berbeza dengan Islam di mana ‘pilgrim’ bagi Muslim ialah ke Mekah bagi melakukan haji. Namun ada juga yang menggunakan perkataan ‘pilgrim’ untuk merujuk kepada umrah. Ini adalah masalah istilah yang digunakan oleh Eropah tetapi ingin diumumkan istilah itu kepada masyarakat Islam sehingga ada yang menulis bahawa ketika golongan Syiah menyambut Muharram dan kematian Saidina Husien, ia digambarkan sebagai ‘pilgrim’. Jika dilihat dalam hal ini, ‘pilgrim’ bagi Muslim seharusnya merujuk kepada ibadah haji di Mekah, bukan mana-mana sambutan juga perayaan ditempat lain.
Bagi Palestin, ia telah menjadi tempat yang menjadi tumpuan bagi Yahudi, Kristian dan Islam. Golongan Muslim melihatnya sebagai tanah yang diberkati oleh Allah SWT dan ia merupakan tanah yang mempunyai kaitan dan kepentingan seperti mana yang ditunjuk oleh para anbiya’ terdahulu. Namun begitu, setelah Palestin menjadi wilayah yang dijajah pada awal abad ke-20, situasinya telah bertukar. Jika dahulu ia bersifat inklusif dengan menerima kepelbagaian agama di tanah tersebut, tetapi ia menjadi wilayah yang tidak lagi bebas dan tidak terbuka terutama kepada umat Islam.
Sejarah Kelahiran Negara Israel
Semasa Perang Dunia, orang-orang Yahudi yang terlibat dalam perang mempunyai jumlah yang besar. Dalam situasi tersebut, sekitar119,000 orang Yahudi berdaftar untuk perkhidmatan tentera dalam masa sebulan Perang Dunia Kedua berlaku. Pada akhir tahun 1942, sekitar 19,000 orang Yahudi Palestin - hampir 10 peratus daripada mereka perempuan - berada dalam perkhidmatan tentera dan aktif dengan angkatan bersenjata Inggeris. Mereka adalah sebahagian daripada kekuatan tentera yang menyertai operasi di Itali dan Afrika Utara.
Unit Komando Khusus Yahudi berjuang di Libya dan Ethiopia, dan juga terlibat dalam penjajahan pasukan tentera Berikat di Syria dan Lubnan pada tahun 1941. Orang-orang Yahudi mengharapkan bahawa penyertaan setia mereka tidak akan dilupakan oleh Inggeris ketika perang berakhir. Ia merupakan masa yang tepat untuk kembali menilai masalah perpindahan Yahudi ke Palestin.
Oleh kerana situasi anti-Semitism atau anti Yahudi muncul di Eropah sebelum Perang Dunia II, orang Yahudi percaya bahawa Palestin menawarkan tempat terbaik untuk mereka membina semula kehidupan mereka dan imej bangsa yang rosak. Pada tahun 1945, ada arus besar masyarakat Yahudi di Poland dan Eropah Timur lain melarikan diri ke kem-kem pelarian di Barat. Situasi ini berlaku kerana setelah kembali ke rumah mereka di Poland, orang-orang Yahudi mendapati keadaan yang runcing di mana anti-Semitisme telah merebak kepada rakyat Poland. Ini tidak terkecuali golongan Yahudi yang terpaksa lari dari cengkaman anti-Semitisme yang membingungkan hidup mereka di era sebelum Perang Dunia I yang dikenali sebagai ‘pogroms’.
Ramai dalam kalangan orang Yahudi, sebagai akibat dari anti- Semitisme, menjadi pelarian atau displaced person (DP) dan beberapa kongres telah dilaksanakan untuk mencari penyelesaian untuk golongan ini. Beberapa orang Yahudi, setelah melihat keluarga mereka terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai oleh Nazi, mereka menumpukan perhatian kepada membawa pelarian ini ke Palestin. Kemudian itu Yahudi Palestin, dengan keberanian dan semangat mereka untuk berjuang serta membela nasib kaum, berjaya menyokong serta
menubuhkan negara Israel.10 Penubuhan Negara Israel tersebut mendapat sokongan penuh dari Amerika di mana Yahudi Amerika telah memainkan peranan penting dalam melobi kerajaan Amerika pada waktu tersebut. Ketika Harry Truman diangkat menjadi Presiden pada April 1945, beliau menjadi sasaran kuasa rayuan dan pelobi Zionis.
Pada tahun 1947, Jawatankuasa Khusus PBB terhadap Palestin (UNSCOP) menyarankan bahagian Barat Palestin harus dibahagi menjadi tiga kategori: pertama, sebuah negara Yahudi, kedua, sebuah negara Arab dan ketiga, sebuah wilayah yang dikuasai atau diperintah oleh PBB (Corpus separatum) di sekitar bandar Baitulmaqdis. Pelan pembahagian (Partition Plan) ini diluluskan pada 29 November 1947 dengan terhasilnya Resolusi 181, Perhimpunan Agung PBB. Resolusi ini dikatakan lebih menguntungkan orang Yahudi berbanding dengan laporan Suruhanjaya Peel.12 Resolusi ini dikira sebagai 33 suara menyokong, 13 menentang, dan 10 dikira tidak hadir. Ini bererti adanya sokongan dengan majoriti mudah untuk memisahkan tanah Palestin menjadi beberapa bahagian. Sekiranya 10 perwakilan yang tidak hadir tersebut jika mereka muncul, ia tidak akan mengubah sokongan untuk mewujudkan sebuah negara Yahudi di Palestin.
Dalam menghadapi kelahiran negara Israel, perang psikologi serta ungkapan sinis sering dilemparkan terhadap masyarakat Arab yang tidak bersatu dan mempunyai pemimpin yang teruk dilakukan oleh pasukan Irgun. Pasukan ini merupakan kumpulan terroris yang terkenal dari kalangan Yahudi. Satu lagi pasukan mereka dikenali sebagai Haganah. Mereka merancang keganasan ke atas masyarakat Palestin.
Pada tarikh 9 atau 10 April 1948 Irgun melakukan pembunuhan lebih dari 250 warga awam umat Islam Palestin di desa Deir Yassin. Pada tarikh 26 Mei, kumpulan Haganah pula melancarkan serangan dan mengusir semua penduduk di perkampungan yang didiami oleh suku Arab kelas menengah.16 Ini hanya dua contoh dari banyak keganasan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin. Sesuatu yang tidak dapat diterima ialah keganasan itu dilakukan oleh pasukan zionis Yahudi ketika Palestin masih di bawah Mandat British, sebelum negara Israel diisytiharkan wujud. Dalam hal ini, Armstrong berpendapat bahawa selama tempoh Palestin berada di bawah Mandat British, Zionis berjaya mencengkam serta menzahirkan kewujudan mereka di situ yang mana ia telah menyebabkan masyarakat Arab menjadi lemah dan akhirnya membawa kepada kewujudan negara Israel.
SUMBER
SUMBER
No comments:
Post a Comment