2012/02/07
IMF berkata, Beijing sepatutnya bersedia melaksanakan pakej rangsangan berbilion dolar untuk mengekang kemerosotan dalam ekonomi kedua terbesar di dunia itu.
"Jika senario penurunan itu menjadi kenyataan, China sepatutnya bertindak balas dengan pakej fiskal besar, yang dilaksanakan menerusi belanjawan Kerajaan Pusat dan tempatan," tambahnya.
China pulih dengan cepat daripada krisis global pada 2008 dan ekonominya berkembang dengan kukuh pada kadar 9.2 peratus tahun lalu, tetapi kadar pertumbuhannya menjadi perlahan apabila Beijing mengetatkan kredit dan mengurangkan aktiviti pelaburan.
Pemimpin China bertindak balas terhadap kejatuhan permintaan global dengan menjanjikan pinjaman bank dan bantuan lain bagi membantu usahawan.
Kerajaan negara itu memberi amaran bulan lalu bahawa ia berdepan kerumitan dan cabaran berikutan ketidaktentuan global.
Bank Dunia bulan lalu memberitahu China dan negara membangun lain supaya bersedia dengan kelembapan global yang dijangkakannya lebih teruk daripada krisis ekonomi 2008.
IMF berkata, senario kemerosotan global yang dijangkakannya itu akan menyaksikan kerugian lebih teruk bagi bank daripada pinjaman sektor swasta dan hutang berdaulat, penguncupan dalam pelaburan dan aktiviti ekonomi global yang perlahan.
Badan dunia itu berkata, pakej rangsangan bersamaan dengan kira-kira tiga peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar China bagi 2012-13 akan mengehadkan penurunan dalam pertumbuhan ekonomi negara itu China kepada kira-kira satu mata peratusan.
Ia akan membabitkan kira-kira 460 bilion yuan (AS$ 75 bilion).
Bank China mungkin terlindung oleh halangan yang menutup sistem kewangannya daripada aliran modal global, kata IMF.
Tetapi ia berkata, kejatuhan mendadak dalam pasaran saham Barat mungkin mengganggu kredit perdagangan.
Kerajaan Hong Kong minggu lalu mengumumkan ia akan membelanjakan 80 bilion dolar Hong Kong (AS$10.3 bilion) tahun ini bagi langkah rangsangan. – AP
sumber : http://www.bharian.com.my/
No comments:
Post a Comment