JOM MASUK !!!

TRaNSLaTiNG MY BLoG

Tuesday, February 1, 2011

IMELDA MARCOS DUNIA ARAB




Leila Trabelsi yang terkenal dengan jolokan Imelda Marcos dunia Arab.


KETIKA kecil, wanita cantik kelahiran Tunisia bernama Leila Trabelsi ini menjalani kehidupan seharian yang biasa sama seperti kanak-kanak lain.
Anak kepada penjual kacang dan buah-buahan itu dibesarkan bersama-sama 10 orang adik-beradik lelaki dalam sebuah keluarga berpendapatan sederhana.
Menginjak dewasa, Leila berkerja sebagai pendandan rambut. Dari situlah beliau berkenalan dengan, Zine el-Abidine Ben Ali, lelaki yang kemudian bergelar Presiden Tunisia dan menjadi suaminya.
Ketika mula berkenalan Zine el-Abidine sudah berkahwin. Tetapi selepas dilantik sebagai presiden pada 1987, beliau menceraikan isteri pertamanya dan mengahwini Leila.
Pasangan Zine el-Abidine dan Leila dikurniakan dua anak perempuan, Cyrine dan Nesrine.
Ibarat kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Kehidupan miskin Leila bersama keluarganya bertukar sekelip mata menjadi kaya-raya selepas mengahwini Zine el-Abidine.
Sejak itu, Leila, 53, yang mana namanya membawa maksud 'kecantikan rambut hitam' mengamalkan kehidupan cukup mewah baik dari segi pakaian, barangan aksesori dan kelengkapan kediaman.
Umpama cerita fantasi, Leila yang dahulu hanyalah seorang wanita biasa, menjadi perhatian seluruh dunia, dikenali ramai dan memiliki kehidupan mewah.
Di saat kebanyakan rakyat Tunisia hidup dalam kemiskinan, kehidupan keluarga Zine el-Abidine dilihat terus dilimpahi kekayaan tanpa had.
Selain menggemari barangan jenama terkenal dan busana mahal yang dihasilkan pereka antarabangsa, keluarga presiden itu dilaporkan mengumpul lebih 50 kereta dan rumah mewah selain dikatakan memiliki kapal layar sendiri.
Dikhabarkan, Leila membelanjakan ribuan pound sterling hanya untuk membeli pakaian mewah.
Ekoran 'kerakusan' Leila terhadap kehidupan mewah, rakyat Tunisia memberinya jolokan 'Imelda Marcos dari dunia Arab'.
Ini kerana minat Leila pada kehidupan mewah saling tidak tumpah seperti isteri bekas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos yang digulingkan melalui kuasa rakyat itu.
Bukan setakat itu apabila Leila juga digelar The Regent of Carthage, iaitu sebuah kerajaan purba yang mengamalkan pentadbiran tidak jauh berbeza dengan yang dijalankan keluarga Zine el-Abidine.
Ungkapan ada mengatakan, 'di sebalik kejayaan atau kegagalan seorang lelaki, pasti disebabkan seorang wanita'. Ini mungkin amat tepat bagi menggambarkan situasi yang dialami presiden itu.
Malah laporan media menyebut, Zine el-Abidine sekadar boneka Leila. Kegilaan wanita itu kepada kuasa, wang, kereta dan kediaman mewah mendorong kebencian rakyat Tunisia terhadap kepimpinan presiden berkenaan.
Rasuah dan nepotisme yang berlaku dalam keluarga besar tersebut menjadi penyebab rakyat hilang keyakinan, kepercayaan dan sokongan kepada kepimpinan presiden.
Ditambah kadar pengangguran di Tunisia yang meningkat selain harga barangan yang semakin mahal menyebabkan rakyat tidak berpuas hati.
Ramai graduan tidak mempunyai pekerjaan dan berusaha mencari rezeki dengan cara sendiri.
Kemuncak kepada kemarahan rakyat tercetus apabila pada 17 Disember 2010, seorang pemuda, Mohamed Bouazizi, 26, bertindak nekad membakar dirinya dengan menyimbah minyak petrol ke seluruh tubuh.
Mohamed yang hidup susah sejak kecil, merupakan seorang yang bertanggungjawab dan rajin menjalankan perniagaan buah-buahan serta sayur-sayuran di jalanan sekitar bandar Sidi Bouzid bagi menampung keluarganya.
Bagaimanapun, suatu hari pihak berkuasa telah merampas barangan jualannya dengan alasan dia tidak mempunyai lesen.
Tidak cukup dengan itu Mohamed diludah dan ditampar seorang pegawai penguatkuasa wanita yang tidak berperikemanusiaan.
Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, Mohamed berjumpa dengan Gabenor Sidi Bouzid untuk membuat aduan tetapi tidak diendahkan.
Kecewa dan hilang arah kerana merasakan dirinya tidak lagi berdaya membantu keluarga, Mohamed menulis satu pesanan terakhir kepada ibunya di laman facebook sebelum membakar diri.
Walaupun doktor sedaya upaya cuba menyelamatkannya selepas dia dikejarkan ke hospital, Mohamed hanya mampu bertahan sehingga 4 Januari 2011 dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan teruk yang dialami.
Berita mengenai kematian Mohamed tersebar di seluruh negara itu walaupun kerajaan Zine el-Abidine mengamalkan sekatan kebebasan bersuara terhadap media dan rakyat.
Kejadian itu memarakkan kemarahan dan semakin menimbulkan kebencian seluruh rakyat Tunisia kepada presiden dan isterinya yang terkenal sebagai pemimpin yang menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan sendiri.
Bagi mengawal kemarahan rakyat terhadap kes Mohamed dan cara kepimpinannya, Zine el-Abidine menurunkan harga barangan keperluan selain berjanji tidak akan bertanding dalam pilihan raya presiden yang dijadual diadakan pada 2014.
Namun, segalanya sudah terlambat bagi Zine el-Abidine apabila beribu-ribu rakyat membanjiri kawasan pejabat kerajaan dan mengadakan demonstrasi secara besar-besaran akibat tidak berpuas hati dengan beliau.
Akhirnya kurang dari enam hari selepas peristiwa Mohamed membakar diri, kerajaan diktator Tunisia yang diterajui Zine el-Abidine selama 23 tahun tumbang pada Januari 2011.
Dalam kekalutan itu, Zine el-Abidine dan Leila lari ke Arab Saudi yang sudi menerimanya selepas negara-negara Barat dan Perancis menolak untuk memberikan perlindungan politik.
Rakyat bertindak menyerbu kediaman mewah presiden dan menghancurkan kereta-kereta milik keluarga Zine el-Abidine yang turut digelar Mafia.
Biarpun negara dilanda kekacauan akibat sikapnya yang tamakkan kekayaan, Leila dilihat masih tidak insaf apabila dilapor sempat melarikan diri dengan membawa jongkong emas seberat 1.5 tan yang dianggarkan bernilai 35 juta pound sterling (RM168 juta) dari Bank Negara Pusat Tunisia.
Satu laporan pula menyebut, Ben Ali mempunyai kekayaan berjumlah 3.5 bilion euro (RM14.35 bilion) yang sebahagian besarnya disimpan di Perancis.
Manakala anak perempuan mereka, Cyrine, Nesrine, 24, dan suami Nesrine, Sakhr terbang melarikan diri ke Paris, Perancis serta menginap di bilik bertaraf Suite VIP pada harga lebih 300 euro (RM1,230) semalam di Hotel Disneyland.
Nesrine yang sedang hamil dilihat sama sahaja dengan sikap ibunya apabila sebelum kejatuhan kerajaan pimpinan bapanya, dia menggemari makanan-makanan mewah seperti ais krim dari St Tropez di Perancis dengan menerbangkan khas terus ke rumah mewahnya yang terletak di tepi pantai.
Selain itu, suami Nesrine yang terkenal dengan sikap playboy pula memelihara harimau yang diberi makan daging berkualiti.
Kini, Cyrine dan Nesrin dijangka tidak dapat menginap lama di Perancis apabila seorang menteri di negara itu mengatakan, kerajaan akan membekukan seluruh aset berkaitan Ben Ali.
Apa yang pasti, kejatuhan kerajaan Tunisia pimpinan Zine el-Abidine dikaitkan dengan sikap tamak Leila yang dianggap lupa asal-usul.
Di sebalik 'kehancuran' negara itu ketika ini, rakyatnya dilihat gembira apabila pemimpin yang dianggap pengkhianat akhirnya berjaya digulingkan.
Ajaran Islam yang sebelum ini ditegah di Tunisia seperti tayangan azan di televisyen yang dilarang kerajaan Ben Ali kerana dikatakan boleh mengakibatkan polusi suara, kini disiarkan.
Media melaporkan, rakyat Tunisia mengharapkan kerajaan yang bakal memimpin negara itu selepas ini menjalankan pemerintahan berlandaskan Islam.

Sumber : Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment

Busuk Yang Terbaik !

Support 4 Nuffnang & M4P

Yang Terbaik...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

CLICKBANK : JUST CLICK IT !